SELANGOR

Warisi masalah BN tapi berjaya jaga kebajikan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

BALAKONG, 8 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya mentadbir negara selepas mengambilalih daripada Barisan Nasional (BN) melalui pendekatan berhemah dan ketelusan.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun mewarisi masalah dengan hutang negara mencecah kira-kira RM1 trilion, namun PAKATAN tidak mengabaikan kebajikan rakyat dan berjaya menetapkan gaji minima lebih baik berbanding sebelumnya.

“BN naikkan gaji RM100 dalam masa dua tahun tetapi kerajaan PAKATAN naikkan RM50, dalam tempoh tiga bulan. BN naikkan 10 peratus dalam dua tahun tetapi kita naikkan lima peratus, dalam hanya tiga bulan.

“Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kata, kita gagal tetapi yang gagal Najib dan sekarang beliau boleh tidur,” katanya pada Grand Finale Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balakong, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan dibuat Najib yang menggambarkan kegagalan kerajaan PAKATAN menunaikan janji gaji minima RM1,500, sedangkan BN menetapkannya pada kadar RM900 pada 20014 dan meningkat RM1,000, pada 2016.

Katanya, PAKATAN tidak menawarkan kadar gaji minima RM1,500 ekoran kedudukan ekonomi negara tidak mengizinkan pada masa ini dan hanya akan melaksanakannya secara berperingkat, selepas ini.

“PAKATAN tidak boleh menaikkan gaji minima secara terus kepada RM1,500 ekoran hutang negara yang mencecah kira-kira RM1 trilion

“Bagaimanapun, PAKATAN hanya akan melaksanakan kenaikan gaji minima RM1,500 dalam tempoh lima tahun seperti termaktub dalam manifesto,” katanya.

Dengan kejayaan pentadbiran kerajaan PAKATAN setakat ini, katanya, rakyat termasuk di Dewan Undangan Negeri Balakong perlu terus menyatakan sokongan dengan mengekalkan wakil rakyatnya, di kawasan itu.

PRK Balakong diadakan hari ini menyaksikan satu lawan satu antara calon PAKATAN, Wong Siew Ki dan calon MCA, Tan Chee Teong.

 


Pengarang :