ALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Waspada perubahan cuaca di Terengganu

KUALA TERENGGANU 8 SEPT: Penduduk Terengganu diminta berwaspada dengan perubahan cuaca yang berlaku di negeri itu berikutan pertembungan angin barat daya dan angin tenggara yang boleh membawa kepada kejadian ribut.

Mengikut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca baik pada waktu pagi disusuli dengan ribut petir pada lewat petang yang berlaku sekarang dijangka akan berterusan sekurang-kurangnya seminggu lagi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, ribut yang melanda empat daerah di Terengganu Isnin lepas berpunca daripada pertembungan angin barat daya dan angin tenggara.

Katanya, ini tiada kaitan dengan Monsun Timur Laut (MTL) atau musim peralihan monsun yang kebiasaannya hanya akan bermula sekitar pertengahan Oktober setiap tahun.

“Ribut biasanya kerap berlaku semasa peralihan monsun tetapi boleh juga terjadi semasa monsun barat daya sekiranya wujud keadaan atmosfera yang kondusif dan fenomena ribut ini berupaya menyebabkan kemusnahan yang agak teruk,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, ribut yang melanda pada 4 petang Isnin lalu menyebabkan 2,600 rumah penduduk dan 48 sekolah mengalami kerosakan manakala APM menerima lebih 20 kes pokok tumbang di beberapa jalan raya utama sekitar negeri ini.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :