NASIONAL

Wujud program sokongan komuniti jaga kanak-kanak di IPR

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewujudkan program sokongan komuniti bagi penjagaan kanak-kanak di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, program yang menggalakkan golongan ibu di PPR bekerjasama menjaga kanak-kanak di kawasan perumahan mereka itu akan dimasukkan dalam dasar perumahan rakyat baharu yang dijangka diumumkan, pada hujung bulan ini.

“Kita dapati ada ibu bapa yang tinggal di PPR ini tidak mampu menghantar anak mereka ke pusat asuhan atau mengupah orang menjaga anak, justeru melalui program ini akan ada ibu yang secara sukarela menjaga anak jiran lain semasa ibu bapa mereka keluar bekerja.

“Mungkin kalau bukan ikut blok kita boleh buat berasaskan tingkat bergantung kepada keperluan.

“Jika jiran tahu dia ada masa terluang, dia boleh bantu tengokkan kanak-kanak mungkin untuk tiga hingga empat jam dan esoknya orang lain yang ada masa lapang pula boleh jaga anak-anak jiran,” katanya memetik laporan Bernama.

Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat keluarga kanak-kanak perempuan, Siti Nur Nadhirah Khairul Anuar, 4 yang maut selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat 17, Blok A, PPR Kota Damansara, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa dipercayai tergelincir ketika memanjat kerusi plastik di balkoni rumah yang tidak dipasang jeriji atas.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumah kerana ibu bapanya keluar sejak jam 6 pagi untuk berniaga nasi lemak di Bukit Jelutong, Shah Alam, manakala kakak mangsa berusia 14 tahun keluar menghantar seorang adiknya berusia tujuh tahun ke sebuah tadika di Blok D PPR berkenaan.


Pengarang :