rptnb
SELANGOR

10 premis kilang plastik haram disita MDKL

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 5 OKT: Sekurang-kurangnya 10 premis kilang tidak berlesen disita dalam Operasi Penguatkuasaan Kilang Haram yang dilaksanakan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), di sini, semalam.

Ketua Operasi Penguatkuasaan MDKL, Nordila Yasir berkata, operasi itu berjalan lancar tanpa gangguan daripada mana-mana pihak serta di kawal selia pihak olis dengan baik.

“Dalam operasi berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membantu Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan menahan dua orang warga tempatan bertujuan mendapatkan maklumat berkenaan perniagaan terbabit.

“Pada masa sama, Tenaga Nasinal Berhad (TNB) juga mengambil tindakan dengan membuat pemotongan bekalan elektrik terhadap sembilan premis beroperasi tanpa lesen,” katanya.

Terdahulu, operasi bersepadu itu turut disertai Menteri Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin; Ahli Dewan Negeri Banting, Lau Weng San; Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Dato’ Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim dan Timbalan Yang Dipertua MDKL, Mohd Yasin Alwi.

Selain MDKL, operasi itu turut membabitkan tujuh agensi berkaitan antaranny Jabatan Kastam; Jabatan Imigresen; Pejabat Daerah Kuala Langat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor.

Manakala, Nordila berkata, SPAN pula akan menyatakan kelulusan untuk pemotongan bekalan air sebelum 31 Oktober ini.

“Sepanjang operasi yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang tadi, pihak Imigresen juga turut menahan lima warga asing di bawah Sub Seksyen (1)1 Seksyen 40, Ordinan Imigresen 1959.

“Selain itu, JAS turut ‘seal’ 32 mesin memproses plastik, dua unit janakuasa dan menyita satu unit ‘water pump’,” katanya.

Sementara itu, katanya, MDKL akan terus membuat pemantauan berkala bagi memastikan kilang itu tidak kembali beroperasi dan menghentikan aktiviti sepenuhnya.

“MDKL juga akan terus bekerjasama dengan agensi lain untuk menyalurkan maklumat jika terdapat perkara menyalahi undang-undang di bawah bidang setiap agensi terlibat,” katanya.

Difahamkan, MDKL sudah menjalankan empat siri operasi bermula 24 Julai lalu dan berakhir hari ini (4 Oktober) dengan 33 jumlah sitaan kilang pemprosesan plastik tidak berlesen.

Manakala, kilang aktiviti lain pula sebanyak tujuh disita dengan 54 jumlah aduan diterima.


Pengarang :