SELANGOR

1,000 sudah memilih di Cabang Gombak sehingha jam 1.00 tengah hari

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 21 OKT: Kehadiran pemilih di Cabang Gombak dijangka antara yang tertinggi apabila hampir 1,000 anggota cabang itu telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing sehingga jam 1.00 tengah hari tadi.

Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang juga Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, cabang itu mensasarkan 2,000 anggota akan memilih sebelum pusat pemilihan ditutup pada jam 5.00 petang nanti.

“Kehadiran juga sangat baik dengan setakat ini hampir seribu mengundi dan saya jangkakan kalau keadaan berterusan dengan cuaca baik kita boleh cecah 2,000 pengundi sehingga 5.00 petang nanti.

“Untuk rekod pemilihan lepas jumlah mengundi sekitar 800 lebih dan hari ini sehingga jam 1.00 tengah hari kita dah melepasi jumlah Pemilihan 2014,” katanya.

Amirudin yang juga calon Ketua Cabang Gombak itu berkata demikian selepas memilih di Pusat Pemilihan Cabang Gombak di Dewan Seri Siantan di sini, hari ini.

Bagaimanapun Amirudin berkata, jumlah itu hanya merangkumi sembilan peratus sahaja berbanding jumlah keanggotaan Cabang Gombak yang berjumlah lebih 9,000 orang.

“Peratusan yang rendah ini disebabkan berlakunya pertambahan ahli baru dengan mendadak,” katanya.

Katanya, beliau menjangkakan jumlah memilih di cabang itu mampu meningkat lebih banyak sekiranya keadaan cuaca baik sehingga ke petang.

Sebelum itu, proses pengundian sebelah pagi terus berjalan lancar walaupun hujan turun selama hampir 40 minit.

Proses pemilihan bagi Cabang Gombak merupakan antara yang menjadi tumpuan apabila kawasan itu merupakan cabang dianggotai calon Timbalan Presiden yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Amirudin sendiri.

Selain itu, calon Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Ketua AMK Cabang, Hilman Idham turut mengundi di cabang sama.


Pengarang :