SELANGOR

194 terima pingat ulang tahun Sultan Selangor babit tujuh daerah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 30 OKT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, hari ini, berkenan menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan, sempena Ulang Tahun Keputeraan DYMM Sultan Selangor ke-72.

Pingat berkenaan dikurniakan kepada 194 penerima membabitkan daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.

Keberangkatan tiba Tengku Amir Shah pada istiadat yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Turut hadir, EXCO Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim serta EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Mengetuai senarai penerima pingat berkenaan ialah Mohamed Sabri A Shamsudeen yang menerima Pingat Keberanian Terbilang (P.K.T).

Seramai 24 penerima dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T), seorang penerima Pingat Kecemerlangan Sukan Selangor (P.K.S) dan 34 penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang Selangor (P.P.C).

Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) pula dianugerahkan kepada 104 penerima, manakala seramai 30 lagi menerima Pingat Perkhidmatan Selangor (P.P.S).

Pengurniaan bintang kebesaran dan pingat itu bagi menghargai sumbangan mereka yang berjasa kepada rakyat serta negeri.

 


Pengarang :