GLOBAL

2 jet F-7 Myanmar terhempas, murid 11 tahun maut

BANGKOK 17 OKT: Dua jet pejuang buatan China diterbangkan tentera udara Myanmar terhempas pagi semalam, mengorbankan kedua-dua juruterbang dan seorang kanak-kanak 11 tahun yang terkena serpihan pesawat.

Pihak berkuasa berkata, kedua-dua jet pejuang F-7 itu melanggar menara penyiar, satu daripadanya menjunam ke sawah padi sementara satu lagi berhampiran pagoda terkenal Buddha di rantau Magway, tengah Myanmar.

Kedua-dua pesawat berkecai sejurus terhempas sekitar jam 7.30 pagi, kata Ketua Menteri Magway, Aung Moe Nyo.

Kanak-kanak perempuan 11 tahun, Thwal Zin Nyein, terbunuh apabila serpihan satu daripada jet terbabit mengenainya ketika sedang belajar di luar sebuah sekolah persendirian.

Bahagian pesawat yang memiliki arahan pemasangan bom dilekatkan padanya ditemui berhampiran buku nota, pembaris dan bekas pensel dihiasi kartun yang bertaburan.

“Doktor mengatakan anak saya sudah meninggal dunia namun saya tidak percaya anak perempuan saya mati seperti ini. Dia masih hidup di hati saya,” kata bapa kanak-kanak itu, Khin Maung Phyu.

Mayat dua juruterbang, Kapten Phyo Maung Maung dan Kapten Hein Thu Aung berada dalam bangkai pesawat, kata Aung Moe Nyo yang melawat tempat nahas, menambah seorang daripada juruterbang cuba menyelamatkan diri menggunakan payung terjun.

Tentera udara Myanmar mengalami siri nahas membawa maut sejak beberapa tahun lalu. Kira-kira 13 peratus bajet negara itu dibelanjakan untuk ketenteraan.

SUMBER: New York Times

FOTO SUMBER: EPA


Pengarang :