NASIONAL

Kes saman Zunar-PDRM selesai

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kes saman kartunis Zunar terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia berhubung penahanan secara salah serta rampasan buku juga baju-T miliknya, pada satu majlis dua tahun lalu, selesai secara baik hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Su Geok Yiam merekodkan penyelesaian itu dalam kamarnya selepas Peguam Kanan Persekutuan, Kamal Azira Hassan yang bertindak bagi PRDM dan kerajaan serta peguam Latheefa Koya yang mewakili Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque bersetuju menyelesaikan kes saman itu.

Latheefa yang ditemui pemberita berkata. semua barang dirampas iaitu buku dan baju-T dipulangkan kepada Zunar.

Beliau berkata defendan iaitu PDRM dan kerajaan juga bersetuju membayar ganti rugi (ex gratia) kepada Zunar, namun tidak mendedahkan jumlahnya.

Zunar selaku plaintif memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dengan menamakan 16 anggota polis, dua pegawai, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Zunar mendakwa majlis minum petang anjurannya di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor (KLSCAH), pada 17 Disember 2016 diserbu polis sebelum acara bermula, pada jam 3 petang dan buku serta baju T miliknya dirampas.

Plaintif berkata, dalam serbuan itu, polis turut menangkap pembantunya dan dua orang awam yang menghadiri majlis terbabit, bagaimanapun enggan memberikan maklumat berkenaan alasan tangkapan juga rampasan.

Beliau berkata, sejumlah 1,187 naskhah buku dan 103 helai baju-T dirampas serta polis memaklumkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan (cubaan untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen).

Plaintif seterusnya menyatakan tangkapan dan rampasan itu tidak sah serta menyebabkan beliau mengalami kehilangan juga kerugian.

Sehubungan itu, Zunar menuntut ganti rugi khas RM22,388 atau secara alternatif memulangkan buku dan baju-T yang dirampas, ganti rugi penangkapan secara salah, ganti rugi kecuaian, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta perisytiharan bahawa defendan memungkiri kebebasan asasi plaintif.


Pengarang :