PENDIDIKANSELANGOR

2,683 bergraduasi Istiadat Konvokesyen UNISEL ke-13

OLEH AFIX REDZUAN

BESTARI JAYA, 27 OKT: Seramai 2,683 orang graduan layak menghadiri Istiadat Konvokesyen Ke-13 bertempat di Dewan Canselor, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya.

Jumlah tersebut merangkumi 1,071 graduan yang mengikuti pengajian peringkat Diploma, 1,576 graduan peringkat Ijazah Sarjana Muda, 23 graduan peringkat Ijazah Sarjana serta seramai 13 graduan peringkat Kedoktoran.

Istiadat penuh gemilang ini berlangsung selama tiga hari bermula pada 27 sehingga 29 Oktober 2018.

Konvokesyen kali ini dibahagiakan kepada empat sidang bermula dengan sidang pertama pada Sabtu, 27 Oktober 2018 (Sabtu) yang disempurnakan Canselor UNISEL, Yang Amat DiMuliakan (YAD) Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda sambil diringi oleh Pro-Canselor UNISEL, YAD Dato’ Setia Dr Anuar Masduki dan YAD Tan Sri Ismail Adam.

Turut hadir pada Istiadat Konvokesyen kali ini ialah Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang juga merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UNISE serta Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Selain itu, lebih daripada 300 jemputan kenamaan daripada pelbagai portfolio hadir antaranya ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) serta Parlimen di Selangor, Ketua jabatan diperingkat Kerajaan Negeri Selangor, wakil dari IPTA/ IPTS di Malaysia dan Negara seberang serta ramai lagi.

Seramai empat graduan merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti dan 41 graduan pula menerima Anugerah Pelajar Terbaik Program disamping empat anugerah utama yang menjadi daya tarikan utama setiap graduan.

Anugerah Canselor diberikan kepada Ng Zheng Jian, Sarjana Muda Kewangan (Kepujian); Anugerah Pengerusi diterima Syafika Alyani Anua, Ijazah Sarjana Muda Psikologi Industri (Kepujian); Anugerah Naib Canselor diterima Aisha Ahmed Mohamed Motawh, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) (Komunikasi Korporat) serta Anugerah Exco Pendidikan diberikan kepada Nurul Aqilah Mahmud, Diploma Pendidikan (Pengajian Islam).

Setiap kategori anugerah diberikan menghargai kesungguhan serta kegigihan para graduan selama ini.

Dalam pada itu, UNISEL turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik kepada Dr Makio Miyagawa. Beliau merupakan Duta Besar Jepun ke Malaysia sejak tahun 2014.

Beliau merupakan graduan Kejuruteraan Aeronautik dari The University of Tokyo, Japan dan kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dari University of Oxford, United Kingdom.

Makio Miyagawa pernah melibatkan diri dalam penghasilan bahan ilmiah berbentuk buku, antaranya adalah ‘Do Economic Sactions Work?’ dan ‘Keizai Saisai’.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau adalah Timbalan Pengarah Bahagian Amerika Syarikat dan Rusia, Timbalan Pengarah Bahagian Rusia, Pengarah Bahagian APEC dan Pembangunan Ekonomi serta Pengarah Bahagian Dasar Serantau.

Pada 2007, beliau diangkat sebagai duta mewakili Jepun di Geneva. Kini, beliau memegang portfolio sebagai Duta Besar Extraordinary dan Plenipotentiary Jepun ke Malaysia.

Istiadat Konvokesyen turut dirancakkan dengan penganjuran Pesta Konvokesyen UNISEL (FESKONISEL) yang berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 Oktober 2018 dengan pelbagai aktiviti dan dikendalikan sendiri Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

 


Pengarang :