BERITA UTAMASELANGOR

3 kawasan di Selangor bakal diiktiraf tapak warisan dunia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 OKT: Kerajaan Selangor mengenal pasti tiga lokasi di negeri ini untuk diwartakan sebagai Tapak Warisan Semulajadi Dunia.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, lokasi itu ialah Permatang Kuartza, Gombak; Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong dan Kuala Kubu Bharu.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah memberi persetujuan bagi lokasi berkenaan untuk diikturaf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Kawasan Permatang Kuartza, Gombak mempunyai keluasan 2,157.51 hektar, FRIM (544.3 hektar) dan Kuala Kubu Bharu sebagai bandar terancang pertama dikenali sebagai ‘First Garden City Of Malaya’ yang dibangunkan pada 1925,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Selangor 2018, di Pusat Konvensyen Setia City, di sini.

Turut mencemar duli, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Muhammad Ridzuan Arshad berkata, pihaknya sedang meneruskan usaha penyediaan ‘Conservation Management Plan (CMP)’ dan ‘Pre-Dossier’ bagi lokasi berkenaan.

Katanya, ia untuk merealisasikan matlamat Kerajaan Negeri bagi menjadikan lokasi itu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Dokumen ini akan dijadikan sebagai panduan bagi mengawal pembangunan di kawasan Permatang Kuartza dan Pre-Dossier bagi membawa FRIM ke arah Tapak Warisan Kebangsaan serta Tapak Warisan Dunia.

“JPBD turut menyediakan kajian bandar Kuala Kubu Bharu sebagai Tapak Warisan Kebangsaan membabitkan Majlis Daerah Hulu Selangor yang akan dikemukakan kepada UNESCO untuk persetujuan,” katanya.


Pengarang :