NASIONAL

32 pusat mengundi PRK Port Dickson dibuka 8 pagi

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 13 OKT: Sebanyak 32 pusat mengundi, 154 saluran mula dibuka di Parlimen Port Dickson seawal 8 pagi tadi.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P 132 Port Dickson ini, seramai 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku kedua 2018 yang dikemaskini sehingga 11 September lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) memaklumkan pemilih berdaftar itu terdiri daripada 68,486 orang pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.

Terdahulu, PRK kali ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM3.6 juta iaitu melebihi PRK lalu kerana Parlimen ini mengandungi lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya di mana kawasannya agak luas.

SPR turut menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi dan pihaknya akan melaksanakan ‘Jom Kita Undi’ melalui pelnagai saluran media di lokasi-lokasi strategik di tempat tumpuan awam.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Keputusan PRK berkenaan dijangka akan diumumkan pada pukul 10 malam ini di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini.

Seramai 1,403 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditugaskan di 32 pusat pengundian itu.

Manakala, seramai 800 anggota polis ditugaskan menjaga perjalanan proses pengundian itu termasuk dalam aspek keselamatan lalu lintas.

 


Pengarang :