SELANGOR

4 daerah bakal alami gangguan air

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 OKT: Empat daerah di Selangor dijangka akan mengalami gangguan bekalan air ekoran kerja penggantian perkakasan, di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, pada 9 Oktober ini.

Air Selangor dalam kenyataan hari ini berkata, kerja penambahbaikan dilakukan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) itu mengambil masa sehingga 12 jam, sekali gus menyebabkan loji menghentikan tugas sepenuhnya.

“Oleh itu, beberapa kawasan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan mengalami ganguan bekalan air sementara.

“Tempoh pemulihan bekalan air selepas pengoperasian semula loji kepada pelanggan berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain, bergantung pada lokasi geografi dan altitud premis pelanggan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, tujuh pusat khidmat setempat akan beroperasi 24 jam, bermula jam 9 pagi bagi membolehkan pelanggan mendapat bantuan bekalan air kecemasan.

“Pelanggan yang terbabit dengan gangguan bekalan dinasihat menyimpan air secukupnya sebelum Selasa ini,” katanya.

Air Selangor turut meminta orang ramai mendapatkan maklumat terkini berkenaan status bekalan air dengan menyemak semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor, termasuk laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook Air Selangor dan Twitter @air_selangor.

Maklumat juga boleh diperoleh menerusi aplikasi telefon pintar Air Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store.

Untuk bantuan bekalan air kecemasan, pengguna boleh menghantar khidmat pesanan ringkas ke 15300 atau WhatsApp ke nombor 019281 6793 atau 019280 0919.


Pengarang :