Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai program pelaburan tidak wujud, selain hanya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (gambar hiasan)
NASIONAL

40 peratus warga Malaysia berdepan masalah kesihatan mental

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 11 OKT: Kira-kira 40 peratus daripada warga Malaysia dikuatiri menghadapi masalah kesihatan mental, ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, tahun lalu, dilaporkan seramai 18,336 individu menderita tekanan perasaan berdasarkan imbasan kesihatan ke atas 273,203 individu.

Katanya, daripada kajian dilakukan Kementerian Kesihatan itu mendapati, dari jumlah itu, seramai 11,811 menderita tekanan perasaan ringan, 3,680 sederhana dan 1,682 tekanan perasaan teruk.

“Mengikut Kajian Morbiditi Kesihatan dilaksanakan pada 2015, hampir 30 peratus dari penduduk Malaysia mengalami pelbagai penyakit mental psikiatri.

“Antaranya, kemurungan, penyakit yang lebih serius seperti schizophrenia, percubaan membunuh diri dan lain-lain.

“Statistik ini sebenarnya sangat membimbangkan kita. Pada saya ini bukan pengukur yang baik bagi negara kita. Pihak kerajaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia perlu meniliti kesihatan mental dari segi dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika Majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018, di sini.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Mental Health Foundation, Tan Sri Hashim Meon.

Pada masa sama, Wan Azizah berkata, gejala bunuh diri turut mencatatkan angka membimbangkan dan tidak boleh dipandang remeh.

“Di Malaysia sahaja, kajian Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan 2009 menunjukkan kadar bunuh diri masih lagi rendah (1.18 bagi setiap 100,000 penduduk).

“Ramai pakar berpendapat jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi. Anggarannya hampir 2,500 kes bunuh diri setiap tahun atau secara puratanya tujuh kes setiap hari,” katanya.

Beliau menyarankan rakyat Malaysia menghentikan sikap meminggirkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental, sebaliknya membantu mereka.


Pengarang :