SELANGOR

40 wanita sertai Bengkel Olahan Coklat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU LANGAT, 22 OKT: Seramai 40 peserta wanita daripada pelbagai peringkat umur menyertai Bengkel Olahan Coklat anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) Dun Dusun Tua, di Balai Raya Batu 18, di sini, semalam.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, siri pertama dianjurkan itu adalah kesinambungan daripada bengkel pembuatan roti yang dilaksanakan, pada 20 Oktober lalu.

Katanya, ia bertujuan membantu penduduk, khususnya wanita untuk menambahkan ilmu kemahiran dan menjana pendapatan tambahan.

“Pada masa sama, program ini memberi pendedahan kepada mereka untuk belajar mengasah bakat membuat roti dan mengolah coklat sendiri.

“Sambutan program juga amat menggalakkan kerana kita mendapat penyertaan baik dalam kalangan komunit setempat,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Katanya, program terbabit juga mampu mewujudkan insan yang lebih berinovatif melalui penciptaan olahan serta cara baharu.

“Sudah tentu setiap kemahiran baru yang diperolehi akan dapat meningkatkan keberdayaan wanita selain membangunkan ekonomi keluarga dan kawasan.

“Kemajuan boleh terhasil melalui fasa inisiatif, kreatif dan inovatif,” katanya.

 


Pengarang :