NASIONALPENDIDIKAN

41 pengetua cemerlang bakal ke sekolah harapan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 OKT: Seramai 41 pengetua berprestasi cemerlang akan ditempatkan di sekolah harapan, di seluruh negara untuk meningkatkan prestasi sekolah yang memerlukan perhatian.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, mereka adalah antara kumpulan pertama dihantar yang turut membabitkan bantuan dalam aspek kepimpinan serta pengurusan sekolah selama tiga tahun.

Katanya, sepanjang tempoh itu, mereka akan dibantu pensyarah pembimbing dari Institut Aminuddin Baki.

“Program rintis itu mebabitkan sembilan pengetua berprestasi cemerlang dan sudah memulakan khidmat mereka sejak tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau menyampaikan Watikah Program Pelonjakan Kepimpinan Sekolah (ProPeks) Kohort 2018 kepada semua pengetua berprestasi cemerlang, pada satu majlis di Genting Highlands, semalam.

Sambil menyifatkan pengetua cemerlang itu sebagai ‘hero anak bangsa’, Maszlee berkata, penempatan terbabit adalah amanah diberikan kementeriannya kepada pemimpin sekolah untuk membawa perubahan kepada sekolah berprestasi rendah.

“Anda adalah hero yang bakal melonjakkan sekolah berprestasi rendah dan melahirkan hero yang cemerlang untuk negara.

“Tahniah kepada pengetua dan pensyarah pembimbing yang diberi mandat bagi menjayakan Program Pelonjakan Kepimpinan Sekolah, di seluruh negara,” katanya.

 


Pengarang :