SELANGOR

5 lokasi PAKK diperluas di Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

BUKIT BERUNTUNG, 2 OKT: Penubuhan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) diharap dapat memberikan impak positif dalam membentuk sahsiah generasi muda supaya tidak mudah terbabit dengan aktiviti tidak berfaedah.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta menerusi Belanjawan 2018 bagi menjalankan projek perintis di lima kawasan yang dijangka mula beroperasi, awal 2019.

“Secara umum, kawasan ini mempunyai penduduk padat hampir 20,000 orang dengan pendapatan sosial B40 dan M40.

“PAKK boleh menarik kanak-kanak membuat aktiviti harian seperti kerja sekolah dengan bimbingan aktiviti serta menjana kreativiti masing-masing.

“Setiap PAKK ada kaunseling dan bagi yang beragama Islam, mereka boleh belajar al-Quran, sekali gus mengurangkan masalah gejala sosial dan meningkatkan kesepaduan komuniti di sini,” katanya.

Beliau sebelum itu melawat tapak penubuhan PAKK di Taman Bunga Raya bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Mohamad Hanafi Maulud dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui.

Siti Mariah berkata, selain Hulu Selangor, projek perintis itu turut dilakukan di Seri Serdang, Kota Damansara, Subang Jaya dan Pandan Indah.

Bagi tempoh ini, setiap kawasan perlu membentuk jawatankuasa khas bagi merancang pergerakan aktiviti di PAKK dan diselia JKM.


Pengarang :