NASIONAL

510 program DVM terima akreditasi MQA

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Sejumlah 510 daripada 650 program Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sudah menerima akreditasi sementara daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sejak Jun 2016 sehingga kini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, untuk penilaian akreditasi penuh, 428 program diterima untuk penilaian akreditasi

“12 daripada 428 program telah memperoleh akreditasi penuh, manakala 54 program dalam proses memenuhi syarat-syarat akreditasi penuh.

“362 program pula sedang menjalani proses penilaian dan perlu mematuhi syarat-syarat bagi akreditasi penuh yang dijangka selesai pertengahan 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dalam sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, lulusan DVM boleh menyambung pengajian ke program ijazah sarjana muda di IPTA dan IPTS tertakluk kepada kelulusan Senat IPTA atau IPTS.

Ia turut mengambilkira penyertaan Sijil Vokasional Malaysia dengan tiga kredit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti ditetapkan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

“KPM sedang membangunkan program bersama dengan Malaysian Technical University Network (MTUN) untuk memperkasakan laluan TVET terutamanya untuk pelajar lulusan DVM,” katanya.


Pengarang :