SUKANKINI

55 pasukan bakal berentap

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 OKT: Sebanyak 55 pasukan bakal berentap dalam Kejohanan Bola Keranjang Piala Kampung Baru Smart Selangor 2018, di tujuh zon daripada 9 daerah, di negeri ini, mulai 12 Oktober hingga 12 Disember ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, kejohanan yang menjengah edisi kelima itu adalah insiatif bersama pihaknya dan Kelab Bola Keranjang Kemuning.

“Saingan pertama di peringkat kumpulan akan dijalankan di kesemua kawasan terbabit bermula dari tarikh berkenaan.

“Pada peringkat akhir, Juara dan Naib Juara peringkat zon akan bertanding dengan menggunakan sistem pertandingan ‘Home and Guest’ sehingga ke peringkat perlawanan akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kejohanan Bola Keranjang Piala Kampung Baru SMART SELANGOR 2018, di Lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Hadir sama, Penolong Pengarah Sub Seksyen Jawatankuasa Tetap Pelancongan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Ahmad Nazmi Razali.

Sze Han berkata, pihaknya menyokong penuh komitmen penganjuran kejohanan membabitkan golongan belia tempatan itu selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan generasi muda yang sihat dan aktif.

Katanya, selain memupuk kerjasama erat antara masyarakat berbilang kaum di negara ini, aktiviti sihat sedemikian mampu menghidarkan belia daripada terjebak dalam kancah tidak bermoral dan berunsur jenayah.

“Justeru, golongan belia harus mengambil peluang ini untuk terlibat secara aktif dengan mengamalkan cara hidup sihat melalui penglibatan aktiviti sukan kerana ia boleh memberi impak positif terhadap usaha Kerajaan Negeri melahirkan masyarakat sihat dan cergas.

“Bagaimanapun, usaha ini bukan sahaja perlu dipikul oleh golongan belia, malahan memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak supaya segala apa yang diusahakan dapat dicapai dengan jayanya,” katanya.

Selain menyambut baik inisiatif berkenaan, Sze Han turut berharap kejohanan itu berjalan lancar dan setiap pasukan bertanding dapat menampilkan kesungguhan serta semangat kesukanan yang tinggi untuk menempah slot ke peringkat akhir.

 


Pengarang :