NASIONAL

835,000 kg lebihan makanan dikumpul menerusi projek perintis Food Bank

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Sebanyak 835,000 kilogram lebihan makanan telah dikumpul melalui projek perintis bagi program Food Bank Malaysia sejak Ogos yang memanfaatkan 25,000 anggota isi rumah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata projek itu telah dilaksanakan di Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru setakat ini.

“Projek ini merupakan inisiatif peduli rakyat, meningkatkan kesedaran pengguna bagi menyediakan makanan sekadar yang perlu, dan membantu pihak berkaitan dalam pengurusan lebihan makanan secara sistematik,” katanya menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata antara rakan strategik kementerian yang turut serta dalam projek ini ialah Tesco, AEON, TF Value Mart, Mydin, Lulu Hypermarket, Econsave, 99 Speedmart, Food Aid Foundation, Kechara Food Bank dan Mutiara Food Bank.

Beliau turut mengajak semua anggota Parlimen membantu memberikan sumbangan tenaga dan memperkenalkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan yang mahu turut serta dalam projek ini.

Program tersebut dijadual akan dilancarkan Januari depan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :