SELANGOR

86 mangsa ribut di tiga pusat pemindahan di Klang

SHAH ALAM, 3 OKT: Seramai 86 mangsa daripada 21 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan di sekitar Klang dekat sini sejak semalam selepas kediaman mereka rosak akibat ribut pada petang Isnin.

Jurucakap Unit Pengurusan Bencana Selangor berkata tiga pusat pemindahan itu ialah Dewan Datuk Ahmad Razali, Dewan Serba guna Flat Cempaka dan Dewan Orang Ramai Teluk Pulai.

“Ketiga-tiga pusat pemindahan ini dibuka pagi semalam dan mangsa ditempatkan di sini kerana bumbung kediaman mereka rosak akibat kejadian itu.

“Seramai 49 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di Dewan Datuk Ahmad Razali, 21 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di Dewan Serba guna Flat Cempaka dan 16 mangsa daripada empat keluarga di Dewan Orang Ramai Teluk Pulai,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kejadian ribut hampir dua jam bermula kira-kira 2.15 petang itu mengakibatkan kerosakan teruk pada bangunan, kemudahan awam serta kenderaan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :