PBTSELANGOR

Ahli Majlis muda sumbang idea ‘new skool’

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 OKT: Pembabitan satu pertiga golongan muda sebagai ahli majlis di Pihak Berkuasa Tempatan mampu membawa kepada idea dan landskap baru.

Ketua Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Kamarudzaman Sanusi berkata, idea ditonjolkan mereka juga dianggap sebagai ‘new skool’ dan mampu berfikir di luar kotak.

“Kita cukup berpuas hati dengan kumpulan yang baru ini dan kita menerima kerjasama baik dengan pentadbiran majlis.

“Idea yang ditonjolkan mereka agak kreatif, bukan lagi ‘old skool’, sekali gus pemikiran baru,” katanya kepada SelangorKini.

Kamarudzaman turut menyifatkan kumpulan ahli majlis kali ini yang terbaik pernah disertainya.

Pada masa sama, beliau berkata, sejak penubuhan bandar raya Shah Alam 18 tahun lalu, MBSA kini memacu pembangunan menyeluruh dan rancak.

“Semua kawasan di pusat bandar dan Seksyen 7 rancak membangun yang turut menjalar di beberapa kawasan berhampiran.

“Ia bukan sahaja perkhidmatan berkualiti tinggi, malah cekap dan proaktif kepada komuniti tanpa meminggirkan alam sekitar,” katanya.


Pengarang :