NASIONAL

Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas 45 pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM114,148,983.86.

Zahid, 65, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan satu persatu kepadanya.

Mahkamah membenarkan anggota Parlimen Bagan Datuk itu dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta dan memerintahkannya menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membayar jaminan RM1 juta hari ini, manakala bakinya sebelum atau pada 26 Oktober dan menetapkan 14 Disember untuk sebutan semula kes.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai barisan pendakwaan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P. Kunyalam, T. Deepa Nair dan Nadia Mohd Izhar.

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri itu diwakili 12 peguam diketuai Hisyam Teh Poh Teik dan dibantu antaranya Datuk Ahmad Zaidi Zainal serta Kitson Foong.

Sebelum itu, ruang mahkamah dipenuhi dengan beberapa pemimpin Umno antaranya Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Annuar Musa.

*Sumber: BERNAMA

 


Pengarang :