SELANGOR

Air masa depan tidak cukup jika mentaliti ditakuk lama

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 24 OKT: Pengguna diberi amaran, generasi masa hadapan pasti akan berdepan isu ketidakcukupan air sekiranya mentaliti masyarakat hari ini masih di takuk lama di samping tiada persediaan secukupnya oleh pihak terlibat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, permintaan air dijangka terus meningkat sehingga mencapai 8,697 Juta Liter/Hari (JLH) pada tahun 2065 berbanding 5,127 JLH yang dicatatkan hari ini.

“Walaupun kita mempunyai loji rawatan air dan sistem pengagihan air yang canggih dan unik, kita semua hendaklah tidak lupa bahawa sumber air mentah yang digunakan datang dari sungai.

“Oleh itu, kita semua hendaklah bersama-sama memainkan peranan memastikan kelestarian alam sekitar dan sumber air dapat dipelihara dari sebarang bentuk pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Pelan Induk dan Forum Kelestarian Sumber Air Negeri Selangor di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya di sini, semalam.

Amirudin berkata, beberapa kajian yang dibuat oleh pelbagai pihak sebelum ini, mendapati negara kita mempunyai taburan hujan yang tinggi dengan anggaran sehingga 19,383 JLH setahun.

Bagaimanapun katanya, daripada jumlah itu, hanya 33 peratus berjaya dimanfaatkan dengan sebanyak 25 peratus atau 4,900 JLH untuk pembekalan air dan lapan peratus lagi untuk pengairan manakala bakinya terbuang begitu sahaja ke laut.

Justeru katanya lagi, melalui kajian dibuat, sumber-sumber baru yang dikenal pasti selaras dengan kerangka pemodenan industri air di Selangor yang merupakan satu langkah strategik bagi menangani isu dan persoalan bekalan air yang semakin mencabar.

“Pembangunan takungan air larian di hiliran sungai adalah kaedah baru yang diterima pakai di Selangor berbanding dengan kaedah pembinaan empangan di hulu sungai berikutan pembinaan empangan di hulu sungai semakin sukar dilaksanakan disebabkan pembangunan pesat dan guna tanah yang semakin berleluasa untuk tujuan pembangunan.

“Melalui konsep takungan air larian di hiliran sungai ini, ia boleh memberi kesan kepada budaya rakyat dalam mengamalkan sikap tidak membazir kepada sumber air sedia ada dan pada masa sama memupuk semangat cintakan alam sekitar di mana rakyat akan menjadi lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan sungai yang merupakan sebahagian dari sumber air mereka,” katannya lagi.


Pengarang :