SELANGOR

Air pasang besar terkawal

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 11 OKT: Fenomena air pasang besar di daerah ini masih dalam terkawal di beberapa kawasan, setakat ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, keadaan itu ekoran cuaca baik dan tiada angin kencang, sekali gus menyebabkan paras air laut tidak melepasi ketinggian ban 6 meter, di persisir pantai.

“Dalam pemantauan dibuat dari jam 5 hingga 7.30 pagi, paras tertinggi direkodkan pada jam 7.13 pagi dengan ketinggian 5.5 meter dan keadaan semuanya terkawal.

“Manakala petang ini, kita akan lakukan rondaan sekali lagi ekoran air pasang dijangka mencecah ketinggian 5.1 meter, pada jam 7.31 malam nanti.

“Walaupun terdapat limpahan di beberapa jalan, ia adalah perkara biasa,” katanya.

Pada masa sama, Samsol Maarif berkata, Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Klang akan menutup Pos Kawalan Bomba (PKB), pada jam 9 malam ini selepas waktu air pasang, pada jam 7.31 malam.

Katanya, tujuh pusat penempatan mangsa banjir turut diaktifkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika air melepasi paras ban.

“Antaranya Dewan Serbaguna Tok Muda, Dewan Ahmad Razali, Sekolah Rendah Agama Batu Empat, Dewan Orang Ramai Jalan Palembang, Rantau Panjang, Dewan Bandar Sultan Sulaiman, Dewan Komplek Sukan Pandamaran, dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Lee Min Telok Gong.

“Kesemua PKB dijangka tutup, pada malam nanti jika tiada apa-apa yang berlaku. Jika ada perkara yang tidak diingini berlaku, kita harap penduduk di sekitar lokasi terjejas untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.

Fenomena air pasang dijangka berakhir petang nanti dan difahamkan esok, paras air pasang akan mencecah 5.3 meter, pada jam 7.43 pagi manakala ia dijangka setinggi 4.9 meter apabila air pasang sekali lagi, pada jam 8.03 malam.


Pengarang :