SUKANKINI

Akademi Merah Kuning sedia kongsi pengalaman bantu AMD

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan kepincangan yang berlaku di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang sebagai perkara menyedihkan memandangkan ia menelan belanja besar hampir RM85 juta.

Katanya, kelemahan yang berlaku perlu dibaiki segera bagi mengembalikan peluang mencungkil bakat berpotensi untuk arena sukan bola sepak negara.

Beliau berkata, pengurusan AMD boleh menjadikan Akademi Merah Kuning yang dimiliki Selangor sebagai contoh memandangkan mereka kini mempunyai hampir 900 pelajar.

“Satu perkara yang sangat menyedihkan apabila kita sudah berbelanja lebih RM80 juta untuk pembangunan bola sepak.

“Kita ada Akademi Merah Kuning yang tidak sebesar atau semewah AMD tapi saya kira kelengkapan dan padang latihan kita berada dalam keadaan baik.

“Kita mempunyai hampir 900 pelajar dan ada beberapa pasukan elit yang sudah dibentuk,” katanya yang ditemui ketika meninjau proses pemilihan KEADILAN, di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan lawatan ke AMD dan melahirkan kekecewaann apabila institusi itu dilihat gagal menepati tujuan pembinaannya sebagai pusat latihan dalam melahirkan bakal pelapis Mokhtar Dahari, di negara ini.

Beliau meluangkan masa lebih dua jam melawat akademi itu selepas mendapat maklum balas pada sesi dialog bersama beberapa peminat bola sepak tanah air, di Kuala Lumpur yang memintanya membuat audit berkenaan peruntukan untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

Syed Saddiq berkata, faktor ketirisan juga dikesan berlaku di akademi berkenaan menyebabkan misi melahirkan pelapis negara gagal mencapai sasaran.


Pengarang :