EKONOMINASIONAL

Akaun Hasil Disatukan naik tujuh kali ganda dalam 4 bulan

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Kerajaan Pakatan Harapan membuktikan kecekapan pengurusan kewangan apabila berjaya meningkatkan sebanyak tujuh kali ganda dalam Akaun Hasil Disatukan iaitu RM3.25 bilion dalam tempoh hanya empat bulan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan berjaya meningkatkan jumlah daripada RM450 juta pada 30 April 2018 yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional kepada RM3.70 bilion pada 31 Ogos 2018.

Hasil untuk tempoh empat bulan, iaitu Mei-Ogos 2018 meningkat sebanyak RM1.70 bilion daripada RM71.88 bilion kepada RM73.58 bilion.

“Manakala perbelanjaan pengurusan bagi tempoh Mei-Ogos 2018 telah susut sebanyak RM12.96 bilion daripada RM83.29 billion kepada RM70.33 bilion.

“Lebihan dalam baki akaun semasa berjumlah RM3.25 bilion telah membantu Kerajaan Persekutuan mencatatkan baki Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM3.70 bilion pada 31 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata peningkatan itu menjelaskan cara kerajaan Pakatan Harapan mendapatkan dana yang memadai untuk memastikan pentadbiran kerajaan Persekutuan berjalan lancar termasuk membayar gaji dan pencen bulanan sebanyak RM8 bilion.

“Kerajaan mahu membuktikan yang sebuah kerajaan bersih bukan sahaja dapat membebaskan Malaysia yang dikenali sebagai sebuah kleptokrasi global tetapi juga membantu kita dapatkan sumber kewangan yang baharu,” katanya.

Lim menegaskan bahawa baki Akaun Hasil Disatukan sehingga April 2018 adalah sebanyak RM450 juta yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Sebelum ini, Lim mendakwa penyusutan sebanyak 96 peratus atau RM11.41 bilion di dalam Akaun Hasil Disatukan untuk tempoh bermula 31 Disember 2017 sehingga 30 April lalu disebabkan perbelanjaan boros kerajaan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :