BERITA UTAMASELANGOR

Amirudin: Keluar mengundi pada PRK istimewa

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari, menyeru pengundi P.132 Port Dickson turun menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen berkenaan, beberapa jam lagi.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, PRK Port Dickson agak istimewa kerana Pakatan Harapan (PAKATAN) menawarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.

“Datuk Seri Anwar juga adalah calon Perdana Menteri kelapan. Jadi,saya harap orang Port Dickson akan turun memberikan undi.

“Jika rasa tertarik untuk memilih Perdana Menteri dari Port Dickson, maka pilihlah Datuk Seri Anwar,” katanya ketika ditemui Media Selangor pada lawatan kerja beliau, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, semua ejen calon khususnya daripada PAKATAN juga perlu berhati-hati dan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin bagi kelancaran PRK Port Dickson.

“Elak mengeluarkan sebarang provokasi khususnya daripada ejen yang tidak bertanggungjawab. Walaupun pertandingan ini membabitkan tujuh penjuru tetapi kita tidak anggap mudah atau pandang mudah.

“Namun, dengan keupayaan dan kemampuan PAKATAN juga jentera kami, maka saya kira kita akan berdepan dengan laluan mudah jika semua pihak melaksanakan tanggungjawab yang diberikan untuk memastikan kemenangan PAKATAN kekal, di Port Dickson,” katanya.


Pengarang :