SELANGOR

Amirudin nasihat penyokong dan calon KEADILAN bertanding secara sihat

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 21 OKT: Penyokong dan calon pada Pemilihan KEADILAN 2018 dinasihatkan supaya mengutamakan semangat perpaduan parti dengan memelihara hubungan baik sesama anggota.

Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, perpaduan dalam parti sangat penting bagi menjamin keutuhan parti reformasi itu.

“Harapan saya semua bertanding dengan baik, berkempen secara sihat dan membawa misi masing-masing ke pusat mengundi,” katanya.

Beliau yang juga bertanding bagi merebut kerusi Ketua Cabang Gombak berkata demikian selepas selesai membuang undi di Dewan Seri Sriantan di sini, hari ini.

Ketika mengulas dakwaan berlaku sedikit ketegangan pagi tadi, Amirudin berkata, ianya masih berada dalam suasana terkawal.

Katanya, kejadian itu disebabkan keghairahan peraih undi yang menjerit bagi mempromosikan calon masing-masing.

“Tak gaduh cuma menjerit sikit-sikit, menyokong calon masing-masing dan cuaca juga agak panas tetapi keadaan terkawal dan kita harap pihak polis membantu mengawal keadaan,” katanya.


Pengarang :