BERITA UTAMASELANGOR

Amirudin puas hati lawatan kerja ke Gombak

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 27 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meluahkan rasa puas hatinya dengan lawatan kerja Program Jelajah Maju Bersama bagi Daerah Gombak.

Katanya, beliau turut gembira apabila menerima reaksi positif daripada masyarakat setempat dan juga agensi berkaitan ketika melakukan kerja turun padang berkenaan.

“Saya akan meneruskan pendekatan sebegini dan menumpukan lebih banyak program bersama orang ramai, namun ingin diingatkan, amalan sebegini perlu diterapkan bukan sahaja di kalangan pimpinan Kerajaan Negeri tetapi juga kepada penjawat awam lain.

“Ini membolehkan mereka melihat sendiri masalah dan mencari penyelesaian segera terhadap isu yang dibangkitkan penduduk setempat,” katanya kepada SelangorKini.

Melalui Program Jelajah Maju bersama bagi kawasan Gombak, Amirudin terlebih dahulu mengadakan pertemuan bersama kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta menghadiri jamuan rakyat di Masjid Al-Amaniah Batu Caves pada sebelah pagi.

Kemudiannya pada sebelah tengah hari, beliau dibawa menaiki bas Smart Selangor menyusuri Jalan Sungai Tua sekali gus mengadakan lawatan ke Hospital Selayang.

Program penutup Amirudin disudahi dengan lawatan ke tapak lokasi banjir kilat di Jalan B27 berdekatan AEON Rawang.


Pengarang :