SELANGOR

Amirudin yakin JPP bersedia hadapi pemilihan Selangor, elak kekacauan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 6 OKT: Anggota KEADILAN di Selangor digesa tolak sebarang tindak tanduk yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni pada Pemilihan KEADILAN 2018 peringkat Negeri Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau difahamkan pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) turut membuat persediaan rapi khasnya membabitkan isu keselamatan ketika pemilihan di Selangor berlangsung.

“Pemilihan di Selangor saya harapkan berjalan lancar, tidak berlaku apa-apa dan walaupun saya ada berhubung pihak polis untuk bersedia namun menjadi tanggungjawab penganjur untuk memastikan semuanya berjalan dengan baik terutamanya hal dalaman parti.

“Saya akan adakan mesyuarat khusus dengan semua pengendali untuk memastikan semua berjalan lancar walaupun ada pertandingan di semua peringkat namun saya harap semuanya bertarung dengan baik, tidak menimbulkan suasana kurang baik terutamanya ketika pemilihan berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan peserta Bukit Malawati Xploride 2018 di kaki Bukit Malawati di sini, hari ini.

Beliau yang juga bertanding merebut kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berkata, KEADILAN tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana pihak melanggar peraturan pemilihan dan mencetuskan kekacauan.

Katanya, ketegasan parti boleh dilihat apabila KEADILAN baru-baru ini mengambil tindakan tegas dengan memecat anggota yang terlibat dengan perlakuan ganas.

Amirudin berharap suasana aman dan lancar ketika pemilihan peringkat Negeri Johor, Terengganu serta Kelantan baru-baru ini dapat diteruskan di Selangor.


Pengarang :