PBTSELANGOR

Ampang Jaya Night Run 2018 jadi tumpuan penduduk

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjangkakan Ampang Jaya Night Run 2018 akan terus menjadi tumpuan dengan penyertaan membanggakan dari masyarakat khususnya, di sekitar kawasan itu.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, program yang bakal diadakan di Jalan Bandar 12, Taman Melawati, pada 24 November itu mencatatkan penyertaan kira-kira 1,500 peserta yang mendaftar secara dalam talian dan manual.

“Ia adalah penganjuran ketiga pada tahun ini sebagai salah satu usaha MPAJ membantu kasyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan mendekati penduduk di kawasan persekitaran secara khusus juga rakyat Selangor.

“Acara larian kali ini menawarkan dua kategori iaitu 12 kilometer (km) dan lima km Fun Run,” katanya.

Bagi menggalakkan penyertaan dalam kalangan orang awam, beliau berkata, MPAJ memberi diskaun kepada 100 penyertaan terawal kepada penduduk sekitar Taman Melawati dengan harga hanya RM27 bagi larian lima km, berbanding caj asal RM47.

“Saya ingin memaklumkan tajaan dan kerjasama rakan kongsi adalah salah satu usaha MPAJ memenuhi Agenda Tempatan 21 (LA21) dengan pihak swasta dapat melaksanakan tanggungjawab sosial korporat khususnya kepada penduduk setempat dan rakyat Selangor amnya,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, MPAJ turut mendapat kerjasama Penguatkuasa dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya yang membantu sepanjang persiapan program berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan 44 anggota penguat kuasa MPAJ dan dibantu anggaran 20 anggota polis serta 130 urusetia teknikal juga sukarelawan termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia bagi tujuan berkenaan.

Ampang Jaya Night Run 2018 mendapat kerjasama dan tajaan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor, Sime Darby CapitaLand (Melawati Mall) Sdn Bhd, IJM Land Berhad, Projek Lintasan Sungai Besi – Ulu Kelang Sdn Bhd, F & N Beverages Marketing Sdn Bhd, Tourism Selangor dan Petronas Dagangan Berhad.


Pengarang :