BERITA UTAMANASIONAL

Anwar dijangka menang PRK Port Dickson

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 11 OKT: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson (PRK) dengan jumlah undi tinggi.

Hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE) bagaimanapun mendapati majoriti itu sukar ditentukan kerana ia bergantung kepada jumlah pengundi yang akan keluar.

Timbalan Pengerusi IDE, Prof Dato’ Dr Redzuan Othman berkata, hasil kaji selidik itu dilakukan ke atas 1,084 pengundi, di Port Dickson yang dijalankan antara 8 hingga 9 Oktober lalu.

“Menerusi kajian ini, sebanyak 74 peratus responden berkata mereka akan mengundi Anwar, manakala PAS mungkin akan mengekalkan 11 peratus undi mereka.

“Kajian IDE mendapati PAS kebanyakannya berkempen di kawasan Melayu dan tidak dijangka mendapat lebih daripada satu peratus undi bukan Melayu,” katanya dalam sidang media, di sini.

Pada masa sama, katanya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang bertanding sebagai calon Bebas pula dijangka mendapat 10 peratus undi.

Katanya, calon Bebas Stevie Chan, Lau Seck Yan dan Kang Chee Yuen mungkin memperoleh satu peratus undi, manakala seorang lagi calon Bebas, Saiful Bukhari Azlan, dijangka kalah teruk.

“Barisan Nasional tidak meletakkan calon, pada PRK ini walaupun mereka mendapat 30 peratus undi, pada pilihan raya umum (PRU) lalu. Pada PRU lalu, HARAPAN memenangi kerusi parlimen itu dengan 58 peratus undi.

“Kami soal lebih 1,000 orang tetapi gagal untuk mendapatkan seorang pun yang berkata mereka akan mengundi Saiful,” katanya.


Pengarang :