NASIONAL

Anwar janji laksana amanah diberikan

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 13 OKT: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan melaksanakan amanah yang diberi oleh pengundi Port Dickson.

Beliau terharu dengan kemenangan luar jangkaan itu dan menghargai sokongan pengundi yang memilihnya sebagai wakil rakyat.

“Saya terharu kerana kemenangan di luar jangkaan ini, dukungan rakyat begitu kuat dan padu daripada pengundi Port Dickson.

“Saya ingin beritahu kepada semua terutama pengundi Port Dickson dan rakan di seluruh negara, saya tidak akan mengkhianati amanah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan penyokong dan jentera selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata, undi popular sebanyak 70 peratus diperolehnya membuktikan penerimaan semua kaum terhadapnya.

“Majoriti orang Melayu di Port Dickson memilih Pakatan Harapan (Pakatan), kaum Cina sekali lagi membuktikan dukungan mereka, serta kaum India tanpa ragu memilih kami.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyokongnya sepanjang tempoh berkempen.

“Dipilih menjadi Ahli Parlimen, dan Insya-Allah menjadi Perdana Menteri, saya bercita-cita menjadikan negara bebas rasuah, membawa negara ini ke arah yang lebih baik,” katanya.


Pengarang :