BERITA UTAMANASIONAL

Anwar kembali ke Dewan Rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, hari ini selepas melakar kejayaan cemerlang, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Sabtu lalu.

Beliau yang tiba di Parlimen pada jam 9.40 pagi selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, pada jam 10.02 pagi.

Ini adalah kemunculan semula kali ketiga Anwar ke Dewan Rakyat selepas kali terakhir, pada 16 Mac 2015.

Beliau pernah menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, pada 28 Ogos 2008 ketika era Pakatan Rakyat.

Kemunculan beliau kali ini sebagai Ahli Parlimen kerajaan selepas Pakatan Harapan menguasai Putrajaya untuk memberikan fokus kepada langkah reformasi Parlimen ke arah lebih mantap selaras hasrat Malaysia Baharu.

Pada PRK Port Dickson, Anwar yang memperoleh 31,016 undi menang dengan majoriti selesa 23,560 menewaskan enam lagi calon dari PAS dan BEBAS.

Sebelum ini, Anwar terkenal sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982 dan pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dari 1 Disember 1993 hingga 2 September 1998.


Pengarang :