SASTERA

Apa yang saya tulis bila tulis cerpen cinta

Oleh Adam Taufiq Suharto

IDEANYA senang. Saya nak bersenang-senang, cuci pandangan. Ideanya juga untuk larikan anak mata dari skrin komputer, atau helai-helai kertas tua. Kata orang, langkah untuk bersosial. Semuanya berpunca daripada dua tiga bulan yang penuh kacau, saya diseksa menulis cerpen genre romantik di tempat praktikal. Setelah terseksa dan merana, ia siap. Saya tulis tentang seorang wanita berkemeja T hitam berseluar pendek warna hijau, bertemu cinta hipsternya di sebuah festival seni. Tentulah klise. Saya kisah apa, saya hantar sahaja pada editor, dah kering idea. Saya amatur tentang romantik, saya akui saja.

Sebab itu, saya ikut Syaa dan Yad ke Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC). Di sana ada sebuah festival seni. Yad tegur kemeja-T Star Trek bundle saya. Saya tak tonton Star Trek, kenapa pakai? Saya jawab, “saya pakai kerana nak pakai.”

Kami ke sana untuk tonton teater, kawan-kawan kami sandiwarakan, Ani dan Ros. Ketika jam menunjukkan sudah hampir masuk lima petang, kami percepat dinamik langkah. Tepi tasik, itu lokasi permentasan.

Seusai dapat tempat, saya tetiba terpana, pada sela-sela himpitan jejaka-wanita, ada satu susuk yang menyerlah menurut anak mata saya. Saya tak tahu apa hendak kata. Dia, yang buat saya terpana, mengenakan kemeja-T hitam, dan seluar pendek warna hijau. Dan wajahnya… itu.. itu.. susuk karakter cerpen saya! Apakah ini?

Teater bermula. Saya tak mahu curang kepada tujuan asal saya. Tapi saya resah, bagaimana karakter dari cerpen saya boleh muncul? Perasaan gelisah kian menggebu. Bila habis pementasan, setelah bersalam-salaman dengan Ani dan Ros, juga ucap tahniah atas pementasan teater, saya, Yad dan Syaa jalan cari persembahan lain.

Saya mengaku kepada Yad, konsentrasi saya tergendala. Yad tanya, kenapa? Saya beritahu tentang kemunculan gadis berkemeja T hitam dan seluar pendek warna hijau yang juga merupakan karakter cerpen saya. Yad, gelak, sebelum bilang pada saya, “kehidupan memang penuh kebetulan, jangan terlalu kusutkan fikiran”.

Semasa menyaksikan sebuah persembahan tarian ritual Korea (lupa namanya), saya terpana lagi melihat gadis dengan kemeja-T hitam dan seluar pendek warna hijau turut saksi persembahan, dia di seberang. Dalam keasyikan memandang dan memikirkan bagaimana boleh muncul karakter yang saya ciptakan, saya mula perasan yang dia telah perasan, saya perasan yang dia perasan kemunculan saya. Saya segera alih pandangan. Gadis itu tinggalkan tempatnya. Mata saya ikut arah dia berjalan, semakin dekat,  mendekat dan akhirnya dekat depan mata saya?!

“Saya tak tahu siapa awak, tapi saya nak tahu siapa yang bagi awak baca cerpen saya?” kata gadis itu dengan jutaan bintang indah di matanya dan seribu bulan di wajahnya.

Yad dan Syaa tampak kaget.

“Apa maksud awak?” Tanya saya.

“Saya ada tulis satu cerpen, kisah seorang lelaki pakai kemeja-T Star Trek sama macam awak dan… jatuh cinta dengan gadis berpakaian kemeja-T hitam, seluar pendek hijau macam saya.”

Saya kaget seraya berkata, “Saya pun ada karang sebuah cerpen tentang seorang gadis berkemeja-T hitam dan berseluar pendek hijau jatuh cinta pada lelaki kemeja T Star Trek. Ini buktinya…” Saya keluarkan iPhone, tunjuk cerpen.

Dia baca cerpen seraya kata, “‘Adakah kita berkongsi ruang ilham yang sama, sampai awak boleh cipta saya dan saya boleh cipta awak?”

Saya kaget, apakah momen yang lebih romantis dari momen ini? Kami kemudian mula berbual-bual satu sama lain, saya mula tahu nama dia, Ungku Adlina, tapi dia pinta saya panggil Adlina sahaja. Adlina seperti saya, peminat Paul Auster. Padanlah perasaan kami boleh ber-meta-meta-an.

***

Perjalanan pulang, setelah Syaa dan Yad memberhentikan saya di stesen LRT PWTC, seorang lelaki berkemeja, blazer dan tali leher, menunggu saya sejak tadi. “Jangan selalu amalkan menyelam sambil minum air,” kata lelaki itu.

“Dia terlalu baik untuk saya tinggalkan macam tu saja.”

“Terlalu baik atau terlalu menarik? Kau cuma ejen pemberi pemberi idea kepada penulis yang alami writer’s block. Itu saja.’

“Ya, aku sedar kedudukan aku, dan aku nak berhenti kerja ni.”

“Kau tengah praktikal. Kau tak boleh berhenti.”

“Kita macam menipu Adlina, kita menipu tahap bakatnya. Cerita romantik dia tu biasa-biasa. Cerita dia pasal jumpa lelaki baju Star Trek yang konon-konon watak dari cerpen dia tu cuma orang upahan agensi bantuan writer’s block yang dihantar oleh editor rumah penerbitan dia!” Saya mula ikut emosi.

“Yang penting puaskan klien! Kau boleh gagal praktikal kalau terus biadap begini.”

Kedengaran plastik berisi roti jatuh berdekatan kami. Adlina! Dia mendengar segala perbualan kami! Adlina gegas lari sambil tangis. Saya kejar, kelajuan larian Adlina seperti ada magis. Saya cuba kejar, Adlina naiki teksi, dan saya terkedu, tak terkejar, tak ada stamina.

***

Beberapa bulan pasca-praktikal, semasa sedang kemas kini beberapa cerpen untuk hantar ke Hadiah Sastera Selangor, satu e-mel masuk ke kotak. [email protected]. Tanpa subjek, tapi ada sebaris ayat:

“Ini hak awak. Moga gembira:’)”

Saya baca lampiran. Lampiran itu adalah sebuah cerpen yang telah kalian baca di atas. Saya hantar cerpen ini untuk sertai Hadiah Sastera Selangor. Saya berharap Adlina akan gembira di luar sana, membaca cerpen ini nanti. Cerpen yang saya judulkan, Apa saya tulis bila tulis cerpen cinta


Pengarang :