GLOBAL

Arab Saudi akui Khashoggi mati dalam konsulatnya di Istanbul

RIYADH 20 OKT: Arab Saudi hari ini mengakui wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi dibunuh di dalam konsulatnya di Istanbul, kata media rasmi.

“Perbincangan di antara Khashoggi dan pihak yang ditemuinya di konsulat kerajaan itu di Istanbul berubah menjadi satu pergaduhan yang membawa kepada kematiannya,” kata Agensi Akhbar Saudi, yang memetik pendakwa raya.

Terdahulu, akhbar harian pro-kerajaan Turki, Yeni Safak melaporkan, kolumnis akhbar Washington Post itu diseksa sebelum dipenggal dalam konsulat negara itu di Istanbul, selepas mendengar rakaman audio insiden itu.

Yeni Safak yang mendakwa mendengar beberapa rakaman berkata, pembunuh Khashoggi dipercayai menyeksa wartawan berkenaan ketika disoal siasat dengan memotong jarinya. Khashoggi kemudian dipenggal.

Wartawan itu hilang selepas memasuki konsulat berkenaan untuk mendapatkan dokumen rasmi sebelum perkahwinan dengan tunangnya, seorang warga Turki.

Polis Turki percaya beliau dibunuh pasukan khas dianggotai 15 pegawai Arab Saudi, namun Riyadh menolak dakwaan itu sebagai ‘tidak berasas.’

SUMBER: AFP


Pengarang :