SUKANKINI

ARRC: Azlan fokus raih kemenangan berganda di Indonesia

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 OKT: Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman tidak menghiraukan kontroversi melanda Anthony West sebaliknya fokus meraih kemenangan pada perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia pada 12 hingga 14 Oktober ini.

Ini berikutan isu kontroversi membabitkan pencabar utama SuperSports 600cc dari Australia itu yang digantung Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIM) berkaitan isu ujian dadah yang menjejaskan aksi pendahulu keseluruhan itu, pada minggu ini.

Azlan berkata, beliau ada membaca mengenai isu itu, namun tidak dapat dipastikan sejauh mana penggantungan ke atas pelumba itu akan mula berkuatkuasa.

“Saya tidak pasti sama ada dia (West) beraksi atau tidak kerana tiada berita khusus mengenainya terutama bila hukuman itu mula dilaksana ataupun masih perlu menunggu ujian berikutnya sebelum segalanya dikuatkuasa.

“Lagipun, jika benar dia digantung dan tidak boleh beraksi, saya tidak pasti adakah hukuman diteriman menjejaskan jumlah kutipan mata dipungutnya ketika ini.

“Apa yang penting, minggu ini saya fokus kepada perlumbaan dan cuba memenangi kedua-dua perlumbaan,” kata pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu.

Beliau berkata, perlumbaan minggu ini penting kepadanya kerana ia adalah peluang terbaik untuk merapatkan jurang pungutan mata ketika ini.

Selain mendapat sokongan penyokong di Malaysia, katanya, sokongan penyokong tuan rumah kepada pasukan itu juga pasti meningkatkan semangatnya untuk memenangi perlumbaan minggu ini.


Pengarang :