SUKANKINI

ARRC: Zaqhwan buru kemenangan pertama

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 OKT: Mohd Zaqhwan Zaidi berhasrat menamatkan kemarau gelaran juara SuperSports 600cc apabila turun beraksi pada pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia pada 12 hingga 14 Oktober ini.

Zaqhwan berkata, beliau sangat berharap dapat memenangi perlumbaan minggu ini namun rekodnya di litar itu tidak begitu baik di mana pada musim lalu sekadar menduduki tempat keempat pada perlumbaan kedua sebelum mengalami kemalangan dan tidak dapat beraksi pada Perlumbaan 2.

“Saingan sudah tentu bukannya mudah, ditambah dengan kehadiran pelumba tuan rumah dan juga faktor keadaan litar agak mencabar di sini.

“Bagaimanapun, saya akan memberikan yang terbaik dan turut yakin kemampuan jurutera pasukan untuk menyediakan jentera terbaik kepada saya,” katanya.

Selepas empat pusingan, Zaqhwan yang turut beraksi dalam saingan 1000cc di Kejuaraan Seluruh Jepun kini menghuni tangga kelima keseluruhan dengan mengumpul 65 mata selepas tidak beraksi pada pusingan kedua di Australia.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu iaitu juara keseluruhan musim 2014 dan 2016 setakat ini masih belum meraih sebarang gelaran juara sepanjang empat pusingan lalu dengan pencapaian terbaik muncul naib juara pada pusingan keempat berlangsung di Madras, India, Ogos lalu.

Kali terakhir Zaqhwan muncul juara ialah pada Perlumbaan 1 sewaktu pusingan keenam ARRC di Litar Buriram, Thailand yang membantunya untuk bergelar naib juara keseluruhan di belakang seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman.


Pengarang :