EKONOMI

Asakan perkembangan luar, Ringgit dijangka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Ringgit dijangka diniagakan rendah berbanding dolar AS pada minggu depan, diasak oleh perkembangan luaran serta prestasi dolar AS yang terus kukuh, kata peniaga.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran Global FXTM, Jameel Ahmad berkata sentimen global dan prestasi pasaran saham juga akan mempengaruhi pergerakan ringgit minggu depan.

“Sama ada pasaran saham global terus terjejas akibat ketidaktentuan sama yang dialami sejak beberapa bulan lepas, akan menjadi faktor utama yang menentukan prestasi ringgit pada minggu depan.

“Jika aktiviti jualan saham berterusan di pasaran global pada minggu depan maka ringgit juga berkemungkinan mendapat kesannya apabila pelabur hilang minat terhadap pasaran negara pesat membangun,” katanya.

Jameel berkata ringgit juga berisiko untuk ditekan menghampiri paras 4.20 berbanding dolar AS.

“Setakat ini, gabungan kekukuhan dolar AS dan ketidaktentuan pasaran global terbukti menekan ringgit untuk jatuh ke paras menghampiri 4.20 minggu depan berbanding 4.15,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Malaysian Industrial Development Finance Bhd, Dr Kamarudin Nor berkata ringgit susut berbanding dolar AS ke paras 4.1755 minggu lepas – paras yang sebelum ini dicatat pada November tahun lepas.

Menurutnya, prestasi ringgit juga seiring nasib mata wang lain di rantau ini.

“Ini berikutan pengukuhan ketara dolar AS yang mana indeks mata wang negara maju itu melonjak kepada 96.68 mata iaitu hampir mencecah paras tertinggi dalam tempoh 52 minggu.

“Ringgit susut 0.42 peratus minggu ini yang menjadikannya turun 3.078 peratus berbanding dolar AS setakat tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam masa terdekat ini, katanya, kebimbangan mengenai perang dagangan, kelembapan ekonomi dan dasar monetari China yang lebih ketat akan mempengaruhi risiko pelabur terhadap mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit.

Di peringkat tempatan, jangkaan terhadap Bajet 2019 turut menjadi faktor penentu prestasi ringgit yang menjadikannya berdepan tekanan minggu depan dan dijejaskan lagi oleh penurunan harga minyak, kata Kamarudin.

Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.1730/1770 daripada 4.1560/1600, minggu depan.

Berbanding kelompok mata wang utama lain, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0154/0189 daripada 3.0129/0169 pada Jumaat lepas manakala berbanding yen Jepun, ringgit turun kepada 3.7282/7321 daripada 3.6982/7027.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3419/3495 daripada 5.4132/4205 dan naik berbanding euro kepada 4.7384/7438 daripada 4.7619/7674, Jumaat lepas.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :