SELANGOR

Aspek keselamatan dan pengurusan sisa pepejal perlu diberi perhatian

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 24 OKT: Masalah kutipan sampah di beberapa kawasan dilihat menjadi isu utama yang perlu diberikan perhatian serius agensi kerajaan di Daerah Gombak.

Mathavan N Baskaran, 52, yang merupakan penduduk di Bukit Idaman mengakui keadaan itu perlu diselesaikan segera terutama dalam penyediaan tong sampah lebih besar supaya jumlah sampah terkumpul dapat ditempatkan dengan lebih terurus.

“Tong sampah disediakan sangat kecil dan ia perlu digantikan dengan bersaiz besar. Keadaan itu lebih diburukkan dengan sikap pengguna yang turut membuang sampah domestik seperti perabot dan barangan rumah.

“Kita sebagai pengguna juga sepatutnya berfikir panjang sebelum membuang sampah berkenaan supaya sesuai dengan keadaan,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsikan Adam Teh Kok Chean, 25, yang turut tinggal di Bukit Idaman.

Katanya, masih ada segelintir penduduk yang gagal memahami jadual kutipan sampah dan terus membuang sisa pepejal tanpa rasa bersalah serta menyusahkan pengguna lain.

Dalam pada itu, Hafiz Mokhtar, 34 berharap aspek keselamatan jalan raya dapat di pertingkatkan di kawasan Bukit Rahman Putra.

Sebagai penunggang motosikal beliau berkata, jalan berkenaan sering menjadi tumpuan kejadian kemalangan susulan tindakan berdisiplin sesetengah pengguna hingga mengakibatkan pihak lain menjadi mangsa.

“Dahulunya keadaan jalan agak teruk di situ tetapi kini sudah diturap. Malangnya ada pemandu yang suka mengambil jalan pintas untuk mengelak kesesakan hingga mengakibatkan penunggang motosikal menjadi mangsa kemalangan.

“Boleh dikatakan kejadian kemalangan sering berlaku di situ dan jika aspek keselamatan dipertingkatkan diharapkan perkara tidak diingin dapat dielakkan,” katanya.


Pengarang :