NASIONAL

Baka berkualiti tingkat pengeluaran daging

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menegur sikap segelintir penternak yang lebih suka menggemukkan lembu untuk tujuan perniagaan, berbanding mendapatkan baka terbaik bagi pengeluaran daging berkualiti.

Menterinya, Dato’ Salahuddin Ayub berkata, tindakan terbabit tidak membawa kebaikan kepada industri penternakan negara, terutama dalam sektor makanan daging.

“Oleh kerana itu, kementerian sedang berusaha meningkatkan pengeluaran daging negara menggunakan baka terbaik dan melihat teknologi terkini, termasuk dari Australia, Brazil serta Mongolia bagi mendapatkan baka yang mempunyai ekosistem terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soalan tambahan, pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, katanya, kementerian yakin akan mencapai tahap pengeluaran daging pada kadar 28 peratus kepada 30 peratus pada tahun hadapan, sekali gus meningkatkan tahap sara diri (SSL) dalam sektor terbabit.

“Kita juga sedang memberi fokus kepada 72 ladang ternakan seluruh negara termasuk 63 ladang kelapa sawit integrasi yang menjalankan ternakan haiwan.

“Pada bajet akan datang juga, kementerian akan meminta peruntukan lebih supaya industri ini dipertingkatkan, sekali gus menjadikan kita negara yang pantas dan inovatif dalam sektor berkenaan,” katanya.


Pengarang :