NASIONAL

Bangun sistem e-dagang, tingkat sosio-ekonomi – Gobind

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Pembangunan infrastruktur sistem e-dagang yang lebih berdaya tahan, inklusif dan efisien wajar dilaksanakan di negara ini sebagai landasan strategik ke arah meningkatkan kemajuan sosio-ekonomi tempatan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, sistem e-dagang menjadi pencetus perubahan yang dilihat mampu memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana, sekali gus mengembangkan perniagaan mereka di luar sempadan menerusi rantaian bekalan global.

“E-dagang memberi hak dan kuasa kepada pengguna khususnya rakyat di bandar mahupun luar bandar untuk membeli pelbagai produk serta barang dengan kadar harga berpatutan.

“Memandangkan lebih banyak produk terdapat di pasaran dan mudah diakses oleh masyarakat global, e-dagang akan memacu industri pos serta kurier ke tahap perkhidmatan baharu seterusnya pencapaian yang tinggi untuk industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama Majlis Anugerah Industri Penghantaran E-Dagang 2018, di Hotel Majestic, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith; Pengurus Setiausaha Kementerian Komunikasi Multimedia, Dato’ Mohd Ali Mohamad Nor; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Al-Ishal Ishak serta Presiden Persatuan Syarikat Penerbangan Ekspress Malaysia, Bernard Yeoh.

Pada masa sama, Gobind Singh berkata, beberapa penekanan termasuk pembangunan sistem yang lancar diperlukan bagi mencapai tahap kecekapan e-dagang berkenaan.

Malah, katanya, Malaysia juga harus memiliki tahap jaringan berbeza jika mahu berjaya dalam era digital masa kini memandangkan negara, syarikat dan orang ramai saling bersaing antara satu sama lain, di dunia tanpa sempadan hari ini.

“Kita perlu mendefinisi dan mencari semula hubungan baik dalam bidang jalur lebar serta perkhidmatan bagi memenuhi kepuasan pelanggan seterusnya membolehkan kita memaksimumkan faedah ekonomi digital.

“Kerajaan komited menawarkan harga jalur lebar berpatutan dan mampu milik supaya setiap rakyat mempunyai akses sepatutnya terhadap jaringan internet ini,” katanya.

Mengakui peranan strategik dimainkan sektor pos dan kurier, Gobind berkata, industri terbabit dilihat semakin berkembang dan menyerlah, khususnya dalam e-dagang.

“Oleh itu, amatlah penting bagi kementerian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencorakkan masa depan industri ini bersama dengan meningkatkan piawaian industri serta mewujudkan hubungan berkualiti.

“Walaupun e-dagang di Malaysia masih di peringkat awal pembangunan, namun ia memerlukan kementerian untuk mewujudkan visi yang berani dan pelan strategik, khasnya dalam industri perkhidmatan pos serta kurier,” katanya.

 


Pengarang :