SELANGOR

Bantuan awal LZS: RM500 buat mangsa letupan kedai dobi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bantuan awal RM500 kepada mangsa letupan pengering pakaian yang berlaku di kedai dobi layan diri Jalan Johan Setia, Klang.

Letupan pada 4 Oktober lalu itu meragut nyawa seorang bapa tiga anak, Badrul Nizam Baharom yang melecur 75 peratus selepas bertarung nyawa selama 10 hari di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sungai Buloh.

Ketua Operasi Agihan Zakat Klang , M Sharil Ritin berkata, sumbangan itu disampaikan kepada isteri mangsa, Haizira Badarudin semasa lawatan LZS ke Hospital Selayang.

Katanya, lawatan lebih satu jam itu bertujuan menyantuni keluarga mangsa dan melawat anak sulungnya, Nurani Ellesya Badrul Nizam, 14, yang turut mengalami 47 peratus kesan melecur di beberapa bahagian badan.

“Saya cuba menenangkan beliau sebaiknya dan memaklumkan bahawa LZS akan membantu keluarga ini.

“Selain itu, kos rawatan ditanggung LZS dan keluarga ini layak menerima bantuan zakat sebagai asnaf miskin memandangkan mereka tiada sumber pendapatan,” katanya di laman Facebook LZS.

Terdahulu, sebuah media melaporkan, Nurani Ellesya masih trauma dan tidak dapat melupakan tragedi berkenaan.

Pihak hospital menjalankan satu pembedahan terhadap Nurani Ellesya, dengan mengambil kulit di perut untuk ditampal pada paha dan tangan yang melecur itu.

Dia dijangka menjalani beberapa siri pembedahan lagi secara berperingkat termasuk pembedahan plastik sekiranya perlu untuk anggota badannya yang melecur.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga terbabit terutama bagi rawatan Nurani Ellesya boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Haizira Badarudin (164306343048).


Pengarang :