GLOBAL

Bekas hakim terbabit rasuah lari ke Sepanyol

LIMA, 18 OKT: Bekas hakim Mahkamah Agung Peru, Cesar Hinostroza dilaporkan sudah meninggalkan negara itu, walaupun mendapat perintah larangan perjalanan dari Cawangan Kehakiman.

Memetik laporan BERNAMA, beliau yang berlepas pada 11 Oktober lalu, dipercayai berada di Sepanyol bersama isterinya, Gloria Gutierrez Chapa.

Menurut akhbar El Comercio, Hinostroza masuk ke Sepanyol melalui Lapangan Terbang Barajas Madrid, pada Rabu.

Pengerusi Kongres, Daniel Salaverry berkata, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Dalam satu siri rakaman audio dikeluarkan TV Panorama dan laman sesawang kewartawanan penyiasatan IDL-Reporteros, Hinostroza didakwa berunding dengan seorang individu serta menerima habuan untuk mengurangkan hukuman ke atas pesalah rogol kanak-kanak.

Pada 4 Oktober lalu, Kongres Peru meluluskan pemecatan Hinostroza selain dilarang memegang jawatan awam selama 10 tahun serta dituduh terbabit dalam jenayah terancang.


Pengarang :