BERITA UTAMASELANGOR

Belanjawan 2019: MB tinjau apa belia mahu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memberi peluang kepada golongan muda bagi menyuarakan hasrat berkenaan Belanjawan Selangor, kali ini.

Peluang itu diberikan melalui kaji selidik ringkas dijalankan Amirudin melalui twitter peribadinya, bermula Sabtu lalu.

Katanya, ia bagi melihat keutamaan pilihan anak muda Selangor melalui Belanjawan Negeri 2019 yang bakal dibentangkan, pada November ini.

“Antara isu perumahan mampu milik, perkhidmatan kesihatan, peluang pekerjaan dan perkhidmatan pengangkutan, apakah keutamaan anda sebagai anak muda dalam Belanjawan Selangor 2019?.

“Undi dan retweet supaya dapat dikongsi bersama yang lain,” tulisnya.

Tinjauan SelangorKini mendapati sehingga hari ini, peratusan undian tertinggi adalah bagi perumahan mampu milik iaitu 46 peratus, sementara peluang pekerjaan sebanyak 43 peratus, perkhidmatan pengangkutan 7 peratus dan perkhidmatan kesihatan, 4 peratus.

Salah seorang pengguna twitter, Nazmi Yaakun berkata, Kerajaan Selangor juga perlu mengutamakan peluang pendidikan sepanjang hayat.

“Ia tidak kiralah sama ada formal mahupun tidak melalui program pembudayaan keilmuan dan perbukuan di Selangor.

“Kerajaan Negeri perlu beri perhatian terutama membantu penganjur yang menghidupkan budaya ilmu,” tulisnya.

 


Pengarang :