SELANGOR

Belanjawan Selangor 2019 fokus menggerak ekonomi, bela nasib golongan memerlukan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Kerajaan Negeri akan memfokuskan usaha meningkatkan lagi prestasi ekonomi negeri termaju itu dalam Belanjawan Negeri Selangor 2019 yang akan dibentangkan pada November nanti.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, beliau juga akan memastikan Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Belum muktamad lagi tetapi fokus kita kepada pemangkin atau penggerak ekonomi negeri dan kawasan.

“Tidak ketinggalan juga kepada golongan yang patut dibantu di mana ini yang akan kita buat dan bantu cuma angka belum muktamad dan saya sedang menelitinya lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas meninjau proses Pemilihan KEADILAN 2018 di Dewan Serbaguna Kampung Batu Muda, Sentul di sini, hari ini.

Apabila ditanya mengenai belanjawan bagi portfolio Hal Ehwal Agama Islam yang dipangkunya, Amirudin memberitahu Kerajaan Negeri akan mengekalkan peruntukan yang besar.

Katanya, Kerajaan Negeri turut meneliti langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan di bawah portfolio terbabit.

“Kita akan kekalkan angka yang besar seperti mana tahun sebelum ini kerana apa yang dilaksanakan sebelum ini diteruskan dengan sedikit penambahbaikan,” katanya lagi.


Pengarang :