EKONOMINASIONAL

Berita baik untuk PKS dalam Belanjawan 2019

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat ini dijangka menyajikan berita baik untuk kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menterinya, Datuk Darell Leiking berkata ini termasuk kemungkinan pengumuman lebih banyak insentif bagi industri PKS yang merupakan nadi ekonomi Malaysia.

“Kami serahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk mengumumkan insentif itu serta perancangan belanjawan untuk 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Pelaburan Kebangsaan 2018 anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, hari ini.

Darell berkata sasaran sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan bahagian eksport menjelang 2020 telah ditingkatkan masing-masing kepada 41 peratus dan 23 peratus berbanding 37.1 peratus dan 17.3 peratus pada 2017.

Bagi mencapai sasaran itu, beliau berkata sebanyak 32 inisiatif akan diperkukuh bagi mewujudkan PKS yang berdaya tahan dan mampan, termasuk program pemacu perniagaan dan berimpak tinggi, mekanisme dan kemudahan pembiayaan kerajaan serta Pelan Induk Strategik e-Dagang Kebangsaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata pihaknya telah mengemukakan sejumlah insentif untuk Belanjawan 2019 bagi menyokong teknologi hijau, penyelidikan dan pembangunan serta industri.

“Kami mahu meningkatkan ekosistem pelaburan Malaysia dengan menjadikannya lebih menarik,” katanya.

Mengulas pelaburan, Azman berkata MIDA berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran kelulusan pelaburan sebanyak RM200 bilion bagi 2018.

Dalam pengumuman semalam, pencapaian pelaburan langsung baharu yang diluluskan bagi tempoh enam bulan pertama 2018 telah mencecah RM80.2 bilion.

Azman berkata bagi tempoh Januari sehingga Ogos, pelaburan langsung asing yang diluluskan berjumlah RM43.77 bilion iaitu satu pertumbuhan menggalakkan berbanding RM16 bilion yang dicatat bagi tempoh sama, tahun lepas.

Sementara itu, pada majlis sama, MIDA turut melancarkan portal perkhidmatannya, i-Services Portal yang merupakan platform pautan perniagaan bagi menghubungkan penyedia perkhidmatan dengan bakal pelanggan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :