PBTSELANGOR

Berjaya kurangkan 6% karbon, MBSA terima anugerah ‘diamond’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima anugerah ‘diamond’ daripada Kementerian Tenaga Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA) ekoran kejayaan mengurangkan enam peratus pelepasan karbon, di Pusat Bandar Shah Alam.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, kejayaan itu mendorong MBSA menetapkan sasaran bagi pengurangan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus, menjelang 2030 nanti.

“MBSA meletakkan sebahagian besar perbelanjaan untuk menjadikan Shah Alam hijau dan rendah karbon dengan apa sahaja projek berkaitan ‘go green’ ini, kita akan turut serta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-18, di Dataran Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Katanya, beberapa bandar raya maju seperti Brisbane yang pernah dilawatinya berjaya mencapai pengurangan karbon sebanyak 40 peratus dengan kaedah menempatkan ruang parkir dan terminal bas di bawah tanah menerusi peruntukan besar.

Ahmad Zaharin berkata, antara program yang sedang dijalankan adalah Hari Bebas Kenderaan, kebun komuniti, projek Sistem Pengurusan Air Hujan, membina trek basikal dan sebagainya.

“Kita mula bina trek basikal sejauh tujuh kilometer (km), kemudian tambah lagi 15km yang akan dirasmikan nanti dan bercadang menambah lagi, pada masa akan datang,” katanya.

 


Pengarang :