ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

Bersedia hadapi banjir, purata hujan tinggi sehingga Disember

SHAH ALAM, 17 OKT: Penduduk di kawasan berisiko banjir digesa lebih bersedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa ekoran purata hujan yang tinggi dari Oktober hingga Disember terutamanya ketika fenomena air pasang besar.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (SSCC) memaklumkan, purata hujan itu dianggarkan antara 210-320 milimeter (mm) (Oktober), 250-370 mm (November) dan Disember sebanyak 200-300 mm.

Katanya, pasang surut air laut tertinggi pula dicatatkan 5.4 meter bagi kawasan Pelabuhan Klang pada 26 Oktober, 7 – 8 November manakala 4.9 meter bagi kawasan Permatang Sedepa pada 25, 26 Oktober, 7 – 8 November ini.

“Fenomena ini akan memberi impak kepada beberapa buah daerah di Selangor.

“Antaranya Daerah Petaling, Hulu Langat, Sabak Bernam, Gombak, Klang, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Hulu Selangor merupakan daerah-daerah yang berisiko banjir dan banjir kilat,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, SSCC berkata, pihaknya mengarahkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Pihak Berkuasa Keselamatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengarahkan agensi Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersiap siaga dan meneruskan pemantauan di sebahagian kawasan banjir.

 


Pengarang :