GLOBAL

Boeing 737 MAX mula operasi Ogos 2018

JAKARTA, 29 OKT: Pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Karawang adalah pesawat baharu yang memulakan operasi penerbangan, pada 15 Ogos lalu.

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal itu dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas, selepas berlepas pada jam 6.20 pagi tadi dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang, pada jam 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia).

Jurucakap Komunikasi Stategik Korporat Lion Air, Danang Mandala Prihantoro berkata, pesawat itu direkodkan dalam keadaan baik sebelum berlepas.

“Juruterbang sudah memiliki lebih dari 6,000 jam penerbangan dan pembantu juruterbang mempunyai lebih dari 5,000 jam penerbangan,” katanya.

Lion Air sudah membuka pusat operasi berhubung nahas itu dan anggota keluarga boleh menghubungi talian (+62)021-80820000 atau (+62)021-80820002 untuk maklumat lanjut.

Sementara itu, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (BASARNAS) dalam kenyataan berkata, pasukan mencari dan menyelamat sudah menemui beberapa serpihan serta barang milik penumpang pesawat berkenaan.

Setakat ini, tiada makluman rasmi berkenaan jumlah korban, namun dikhuatiri semua penumpang dan anak kapal terkorban dalam kejadian itu.

 


Pengarang :